Syabas dan tahniah kepada Warga Jabatan Ilmu Pendidikan yang telah menerima Lawatan Delegasi Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan Universitas Ma'soem (UM) Sumedang, Jawa Barat, Indonesia ke Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh (IPGMKI).
Lawatan tersebut pada 29 Julai 2024 hingga 2 Ogos 2024 dan bertempat di IPGM Kampus Ipoh dan program ini adalah anjuran bersama Jabatan Ilmu Pendidikan, IPGM Kampus Ipoh Fakultas Keguruan dan Ilmu Prndidikan, Universitas Ma'soem, Sumedang, Jawa Barat, Indonesia.
Delegasi ini terdiri daripada dua orang pensyarah dari Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Ma'soem iaitu Bapak Rangga Radita Prihandana, S.E., Pgd., M.A.B dan Bapak Andre Julius, M. Pd. Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan akademik serta memperluaskan kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan ini.
Sepanjang tempoh lawatan, pelbagai aktiviti telah dijalankan. Antaranya adalah sesi perkongsian ilmu yang melibatkan lapan orang pensyarah dari IPGM Kampus Ipoh dan empat orang pensyarah dari Universitas Ma'soem. Sesi ini membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelbagai bidang pengajian.
Selain itu, sesi pembentangan kertas kajian telah diadakan. Sesi ini memberikan platform kepada para pensyarah untuk mempersembahkan hasil penyelidikan mereka, sekaligus bertukar pandangan dan idea dengan rakan sejawat dari institusi yang berbeza.
Delegasi Universitas Ma'soem turut berpeluang melawat tiga buah sekolah 'teaching school' yang berdekatan dengan IPGM Kampus Ipoh. Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan PPH, Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, dan Sekolah Kebangsaan Kg Raja. Lawatan ini bertujuan untuk melihat secara langsung pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta mempelajari amalan terbaik yang boleh diaplikasikan di Universitas Ma'soem.
Program lawatan ini diharapkan dapat memperkukuhkan hubungan antara IPGM Kampus Ipoh dan Universitas Ma'soem serta membuka peluang untuk kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.